Bisnis 100% Tanpa Modal
Selamat datang di Blog Kami, menampilkan Berbagai informasi unik dan menarik dari berbagai sudut di seluruh dunia. Semoga anda dapat menikmati Informasi yang Kami sajikan

Jumat, 25 Mei 2012

Konspirasi Yahudi

Sesungguhnya kita ini adalah masyarakat yang sukakan sesuatu yang mistik, misteri dan terutama sekali konspirasi. Sepanjang saya membesar di negara yang bertuah ini saya sentiasa dikelilingi dengan kisah-kisah konspirasi yang begitu menggamit angan-angan.
Zaidel Baharuddin, Free Malaysia Today
Assalamualaikum dan salam sejahtera buat para pembaca yang budiman sekelian, moga-moga anda berada dalam keadaan yang sihat selalu.
Pastinya anda tertanya-tanya, mengapakah pada minggu ini Encik Zaidel telah memilih suatu tajuk yang begitu kontroversi, adakah dia ingin mengikut jejak langkah diva tersohor Azwan Ali dengan mencari publisiti sebanyak mungkin dan kemudian menangis di hadapan wartawan dengan akuan insaf setelah pulang dari Mekah mengerjakan umrah?
Oh pastinya tidak wahai para pembaca sekelian, sesungguhnya tajuk pada hari ini adalah penaakulan peribadi saya hasil pemerhatian yang telah saya lakukan terhadap masyarakat kita sejak dari zaman Bas Sri Jaya hinggalah ke era Rapid KL.
Sesungguhnya kita ini adalah masyarakat yang sukakan sesuatu yang mistik, misteri dan terutama sekali konspirasi. Sepanjang saya membesar di negara yang bertuah ini saya sentiasa dikelilingi dengan kisah-kisah konspirasi yang begitu menggamit angan-angan.
Dari kisah kononya air coca-cola diisi dengan air ‘holy water’ yang diimport khas dari Vatican, Neil Armstrong yang sebenarnya tidak pernah mendarat ke bulan hinggalah kepada “Muka macam saya, tapi tengok itu bukan perut saya, perut saya kempis, ini semua konspirasi, apa? Jam? Mana Jam? Jam pada isteri saya, apa nak suruh tunjuk? You dari mana ni, TV3? Utusan Malaysia? Ustaz Qardawi Syeikh Al Fadhil Tantawi kata saya tak payah tunjuk jam.”
Hatta kalau nak diikutkan hampir semua perkara di Malaysia ini mempunyai kisah konspirasinya tersendiri. Namun sedar atau tidak, selain dari Barisan Nasional, golongan yang seringkali dikaitkan sebagai watak utama dalam sesebuah kisah konspirasi ialah tidak lain dan tidak bukan golongan Yahudi.
Tanggung banyak dosa
Acap kali kita mendengar kuliah-kuliah dari penceramah agama tidak bertauliah, perbincangan hangat pemikir kedai kopi atau ahli falsafah yang juga pemandu teksi, sering mengaitkan hampir semua benda yang berlaku dengan konspirasi tersembunyi agenda Yahudi.
Antaranya dengan setiap kentang goreng yang anda makan dari restoran makanan segera itu bermakna anda telah mendermakan satu peluru untuk digunakan membunuh orang-orang Palestin ataupun dengan setiap cawan kopi mahal yang anda minum ketika berpacaran di tempat terbuka dan mengikut hukum syarak bersama gadis ‘Hijabster’ itu bermaksud anda baru sahaja mendermakan sebuah bom bagi membunuh kanak-kanak di timur tengah.
Bayangkan setiap kentang goreng rangup yang anda makan itu membunuh seorang rakyat Palestin, pastinya anda menanggung banyak dosa sekarang.
Kebiasaanya saya mengambil sikap acuh tak acuh dengan kenyataan sedemikian, memanglah sudah menjadi pengetahuan umum Israel mengawal dengan jari telunjuk mereka segala dasar Rumah Putih di Amerika Syarikat namun saya rasa konspirasi itu tidaklah sehebat menjalankan aktiviti melemahkan iman umat Islam melalui ayam goreng berempah yang melazatkan.
Namun hati saya terdetik sedikit apabila saya terbaca melalui satu komen di Facebook (media sosial ciptaan orang Yahudi) bahawa penyanyi dan pelakon itu adalah martabat manusia paling rendah sekali kerana mereka adalah hasil dari ciptaan budaya palsu Yahudi melalui Hollywood. Bagaiamana seseorang itu boleh melahirkan sesuatu kesimpulan yang sebergitu dangkal dan cetek tanpa berfikir panjang, adakah dengan kenyataan ini anda menyatakan bahawa P Ramlee juga adalah hasil dari pengaruh Yahudi?
Tatakala saya cuba menyedapkan hati saya dengan menyatakan bahawa ini adalah kesimpulan dari orang yang tidak berpelajaran terdetik hati saya mengingat kisah lampau ketika saya masih belajar, ketika mana golongan ‘mahasiswa’ menyuruh pelajar-pelajar lain memboikot barang-barang yang mempunyai pengaruh Yahudi sebagai tanda protes dan bantahan terhadap kekejaman terhadap orang-orang Palestin, malah ada yang begitu ekstrim sehingga menjatuhkan hukuman bahawa mereka yang menyukai muzik atau cerita barat kononya terperangkap dalam agenda budaya pengaruh Yahudi dalam melemahkan umat Islam.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Read more: http://www.bum1.info/2012/04/cara-membuat-navigasi-paging-halaman.html#ixzz2DDsimLpV